Malam bergantian siang
Sinaran matahari diselang-selingkan dengan cahaya rembulan malam
Dicelah-celahnya terdapat ibrah dan pengajaran buat setiap insan
Bagi yang beriman, saat pertemuan dengan RabbNya menjadi impian abadi
“ Allah mempergantikan malam dan siang. Sungguh pada yang demikian itu, pasti terdapat pelajaran bagi orang-orang yang mempunyai penglihatan (yang tajam).”
[ An Nur (24) : 44 ]
Menghitung hari, saat –saat dinanti
Agar Iman disanubari terus mekar menyuburi hati
Jiwa terus membara dengan keimanan dan keyakinan kepada Ilahi
Penantian kita semakin menghampir waktunya. Beberapa hari, InsyaALLAH jika diizinkan oleh Allah SWT untuk menjejaki bulan yang penuh dengan tawaran, keistimewaan, keunikan dan kebaikan yang tidak terfikir oleh keterbatasan akal manusia.
Bulan yang dibuka seluas-luasnya gerbang jannah bagi seluruh manusia mendapat keberkatan dan rahmatnya.
Rasulullah SAW pernah bersabda :
“ Ketika Ramadhan tiba, semua gerbang syurga terbuka.”
[ Riwayat Abu Hurairah ]
Dan baginda juga bersabda juga :
“ Ketika Ramadhan tiba, semua gerbang syurga dibuka, semua pintu neraka ditutup, semua syaitan dibelenggu.”
[ Riwayat Abu Hurairah ]
Bulan keampunan, keberkatan, kegembiran dan kenikmatan bagi jiwa-jiwa beriman iaitu Bulan Ramadhan Al – Mubarak.
“ Bulan Ramadhan adalah (bulan) yang di dalamnya diturunkan bagi manusia sebagai petunjuk bagi manusia, dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza ( antara haq dan yang batil).”
[ Al- Baqarah (2) : 185 ]
Persiapan dan persediaan Ramadhan 1431 H
Ramadhan harus dihadapi dan dijalankan dengan perancangan. Aspek-aspek ibadahnya harus dilihat secara mendalam, serius dan berfokus. Tahun ini sekali lagi menjadi tahun untuk kita jalani ibadah Ramadhan di Jakarta dan sudah pasti ia menjadi salah satu pengalaman bermakna dalam lipatan memori kita.
Antara perancangannya ialah melaksanakan solat Terawih di beberapa masjid di sekitar Jakarta atau Tanjung Duren spefisiknya. Melaksanakan ibadah dengan tenang, dan mendengar alunan bacaan lantunan ayat-ayat Allah SWT dengan bacaan yang merdu pastinya akan mengamit perasaan kehambaan dan kekerdilan diri kita.
Harapan dan Impian
Semoga Ramadhan kali ini menjadi Ramadhan yang terbaik bagi kita. Akan diusahakan sebaik mungkin dan dijalankan dengan rapi, penuh pengharapan, kesungguhan dan keyakinan menggunung kepada Allah SWT.
Semoga kita mampu bersahur, berqiamullail, bertadarus Al-Quran, melaksanakan ibadah solat sunat Terawih, berzikir, berlajar, bermain, tidur, bermuhasabah dan sebagainya dengan kata kerja yang berkualiti dan bermutu menepati syara’ serta ikhlas kerana Allah SWT.
0 comments:
Post a Comment