11 bulan penantian akan berakhir Rabu ini. Bagi jiwa-jiwa rabbanni yang sentiasa mendambakan keampunan dan keredhaan, inilah masanya buat mereka meraih ganjaran terbesar dari pencipta langit dan bumi serta apa jua yang ada diantaranya.
Memasuki gerbang Ramadhan adalah ibarat memasuki pertandingan bolasepak piala dunia. Satu perlumbaan dan pertandingan paling berprestij antara semua pertandingan bolasepak dunia. Memasukinya harus dengan persediaan yang rapi, latihan yang teliti, mental yang ampuh dan kesediaan untuk berkorban bagi mencapai kejayaan.
Bolehkah kita bayangkan ada pemain atau pasukan yang layak ke piala dunia tetapi langsung tidak bersedia untuk menghadapinya. Pastilah akan dibelasah teruk oleh pasukan-pasukan gergasi, menjadi “sayur-sayuran” yang cukup mudah untuk diratah dan dibelasah. Bahkan akan menjadi bahan ketawa yang memalukan pula nanti.
Begitulah Ramadhan, antara 11 bulan yang ada, ia adalah bulan yang paling istimewa, memasukinya harus dengan hati dan fizikal yang telah lengkap bersedia. Mana mungkin kita akan mencapai kejayaan dalam Ramadhan jika memasukinya seperti mana kita memasuki bulan-bulan biasa. Silap-silap kita akan diratah dan dibelasah oleh nafsu yang telah menerima latihan keras dari jurulatihnya yang tidak pernah berputus asa, iaitulah syaitan yang sentiasa cuba untuk menyesatkan manusia.
Ramadhan adalah gerbang ibadah, perjuangan dan pengorbanan. Hanya yang cemerlang dan bersedia akan berjaya, kerana piala taqwa dan lailatul qadr itu mahal harganya. Tetapkan matlamat, mulakan latihan, teguhkan barisan, perkemaskan ikatan dan mari kita gegarkan Ramadhan dengan ibadah kita yang paling istimewa!
0 comments:
Post a Comment