اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه

أهلا وسهلا


Halaqah Jakarta merupakan blog di bawah kelolaan ahli Halaqah Jakarta yang dianggotai oleh muslimin muslimat Ukrida. Ukrida merupakan salah sebuah universitas yang terletak di Jakarta Barat.

Kami berharap usaha untuk membumikan jiwa-jiwa insan ke arah penerapan Islam yang sebenar-benarnya mengikut acuan Al-Quran dan As-Sunnah akan dipermudah dan diredhaiNya.

Salam Ukhwah! Salam Mujahadah!


Friday, March 06, 2009

Penegak Sunnah di Akhir Zaman

Ditulis oleh ManagerOne, 20 November 2008.

BAGAIMANA KEADAAN PENEGAK SUNNAH DI MASA YANG AKHIR

Pada kali ini kita bincangkan keadaan penegak As-Sunnah di penghujung zaman ini iaitu selepas berakhirnya zaman kegemilangannya di bawah pimpinan Rasulullah saw. yang kemudiannya disambung pula oleh para sahabatnya, tabi’in dan tabi’ tabi’in. Kemudiannya perpecahan umat Islam bertambah besar sehinggalah kesesatan itu berleluasa dan menenggelamkan kebenaran Islam yang sebenar, para penegak As-Sunnah dipenjara, diseksa dan kehidupan mereka disaluti fitnah dan cacian. Maka dalam bab ini Rasulullah saw. bersabda :

عَنْ كَثِيْرِ بْنِ عَبْدِ اللهِ عَنْ اَبِيْهِ عَنْ جَدِّهِ قَالَ: قَالَ رَسُوْلُ الله ص: اِنَّ الدِّيْنَ بَدَأَ غَرِيْبًا وَيَرْجِعُ غَرِيْبًا فَطُوْبَى لِلْغُرَبَاءِ الَّذِيْنَ يُصْلِحُوْنَ مَا اَفْسَدَ النَّاسُ مِنْ بَعْدِيْ مِنْ سُنَّتِيْ

Daripada Katsir bin Abdillah dari ayahnya dari datuknya berkata: Rasulullah saw. pernah bersabda: “Sesungguhnya agama (Islam) itu pada mulanya asing (tidak dikenal) dan kembali asing pula, maka berbahagialah bagi orang-orang yang asing, iaitu mereka yang memperbaiki apa-apa yang telah dirosakkan manusia di masa sesudah aku daripada sunnahku.”
Riwayat At-Tirmidzi dengan darjat hasan shahih.

Hadits ini menjelaskan bahawa agama Islam itu pada mula lahirnya adalah asing, iaitu seperti orang yang berdagang atau merantau di suatu negeri di mana ia tidak dikenal oleh kebanyakan orang di negeri itu, kadang kala dibenci, difitnah oleh penduduknya. Kemudiannya ia diterima dan diraikan oleh penduduknya tetapi setelah sekian lama ia diraikan akhirnya ia kembali menjadi dagang, asing, tidak lagi dikenal oleh kebanyakan orang.

Rasulullah saw. memberi jaminan kepada orang yang asing itu dengan katanya: “Maka berbahagialah bagi orang-orang yang asing”. Siapakah mereka yang asing dan berbahagia ini? Maka Rasulullah saw. menjawab dengan sabdanya :

فَطُوْبَى لِلْغُرَبَاءِ. قِيْلَ: يَا رَسُوْلَ الله وَمَنِ الْغُرَبَاءُ؟ قَالَ: الَّذِيْنَ يُحْيُوْنَ سُنَّتِيْ وَيُعَلِّمُوْنَهَا عِبَادَ اللهِ

“Maka berbahagialah orang orang yang terasing.” Beliau ditanya : “Dan siapa orang orang yang terasing itu ya Rasulullah ? Beliau bersabda : “Mereka yang menghidupkan sunnah saya, dan mengajarkannya kepada para hamba Allah.”

Hadits yang menjelaskan kebahagiaan bagi orang yang berpegang dengan sunnah Rasul dan menyampaikannya. Orang yang berpegang dengan As-Sunnah pasti ia akan menghadapi cubaan dan tentangan di dalam mengamalkan sunnah tersebut apatah lagi apabila disampaikan kepada orang ramai, tetapi apa jua tentangan yang kita hadapi As-Sunnah itu pastilah kita pertahankannya. Maka orang yang ditentang kerana kebenarannya berada di atas jalan yang lurus, jalan yang diredhai Allah itulah sebenarnya orang yang berbahagia. Saudara/saudari, walaupun hidup kita terasing/dipulau oleh masyarakat kerana berpegang kepada Al-Quran dan sunnah Rasulullah saw., jangan kita bersedih hati, asal saja kita benar-benar berada di atas kebenaran dan ikhlas, Allah tidak akan memungkiri janji-Nya untuk meletakkan kita di dalam golongan orang-orang yang berbahagia.

عَنْ مَعْقِلِ بْنِ يَسَارٍ قَالَ: قَالَ رَسُوْلُ الله ص: الْعِبَادَةِ فِى الْهَرْجِ كَهِجْرَةٍ اِلَىَّ
Daripada Ma’qil bin Yasar berkata: Rasulullah saw. bersabda: “Ibadat di masa-kekacauan itu seperti hijrah kepada saya.” Riwayat Muslim


Hadits ini juga diriwayatkan oleh Imam Ahmad, At-Tirmidzi dan Ibnu Majah, hadits ini adalah hadits sahih yang menjelaskan tentang keadaan umat Islam yang masih berada di dalam manhaj yang benar iaitu masih berpegang dengan As-Sunnah dan mengamalkannya, mereka akan berada di dalam kekacauan, kesukaran di mana kesukaran bagi mereka untuk mengamalkan ibadah menurut cara yang disunnahkan. Dan bagi mereka yang masih dapat menunaikan ibadah dengan keadaan yang secucuk dengan As-Sunnah di masa yang penuh dengan kekacauan dan perselisihan, Allah memberikan pahala bagi mereka sebagaimana pahala berhijrah kepada Rasulullah saw.

Pengajaran dari beberapa hadits yang telah dibincangkan di atas adalah, Islam tidak mendidik kita mengalah dengan kesesatan dan kemungkaran sebaliknya Islam mahukan umatnya kukuh dan cekal menghadapi cabaran di akhir zaman. Dari hadits di atas juga kita dapat mengambil faham bahawa umat Islam tidak akan dapat lari dari kekacauan, kekeliruan dan pemulauan oleh sebilangan besar manusia. Oleh yang demikian kita wajar memahami suasana tersebut dan menghadapinya dengan tabah dan kesabaran terhadap keadaan yang berlaku sekarang ini. Dalam kehidupan kita seharian ini kita dikelilingi oleh berbagai-bagai kesesatan, kesesatan di dalam urusan dunia dan yang paling bahaya sekali adalah kesesatan di dalam urusan ibadat (agama). Dan kesesatan di dalam agama adalah dengan mengadakan bid’ah iaitu tambahan yang tidak ada nash atau keterangan daripada Allah dan Rasul-Nya. Bahaya bid’ah ini dinyatakan oleh sebuah riwayat yang berbunyi :

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ: قَالَ رَسُوْلُ الله ص: لاَ يَذْهَبُ مِنَ السُّنَّةِ شَيْءٌ حَتَّى يَظْهَرَ مِنَ الْبِدْعَةِ مِثْلُهُ حَتَّى تَذْهَبَ السُّنَّةُ وَتَظْهَرَ الْبِدْعَةُ حَتَّى تَسْتَوْفِىَ الْبِدْعَةُ مَنْ لاَ يَعْرِفُ السُّنَّةَ
“Daripada Ibnu ‘Abbas berkata: Rasulullah saw pernah bersabda: “Tidak akan lenyap sesuatu daripada sunnah, sehingga tampaklah yang semisal dengannya daripada bid’ah, sehingga lenyaplah sunnah dan tampaklah bid’ah, sehingga dianggap cukuplah bid’ah itu –bagi – orang yang tidak mengenal sunnah.” Riwayat Ibnul Jauzi

Apa yang dinyatakan di dalam hadits tersebut telah jelas berlaku dikeliling kita, berwudhuk dengan lafaz niat, bersolat dengan ushallinya, berdoa beramai-ramai dan dinyaringkan suaranya, azan dialun-alunkan dengan berbagai irama dan berbagai bid’ah lainnya sehingga urusan itu dianggap sunnah dan sunnah pula dianggap bid’ah. Kesesatan ini tidaklah hanya dilakukan oleh golongan yang tidak pandai atau orang kebanyakan malah terdapat ulama yang boleh menghafal Al-Quran dan hadits menghalalkan bid’ah dengan menyatakan bid’ah di dalam urusan agama itu ada yang hasanah (baik). Mereka mengetahui tentang hadits lalu memutar-belitkannya menurut hawa nafsu. Saudara/saudari, apabila bid’ah menguasai masyarakat maka sunnah yang semisal dengannya akan hilang dan hiduplah masyarakat itu dalam kesesatan, sabda Rasulullah saw.:

عَنْ غُضَيْفِ بْنِ الْحَارِثِ قَالَ: قَالَ رَسُوْلُ الله ص: مَا مِنْ اُمَّةٍ اِبْتَدَعَتْ بَعْدَ نَبِيِّهَا فِي دِيْنِهَا بِدْعَةً اِلاَّ اَضَاعَتْ مِثْلَهَا مِنَ السُّنَّةِ
Daripada Ghudhaif bin Al-Harits berkata: Rasulullah saw. bersabda: “Tidak ada dari suatu ummat mengada-adakan suatu bid’ah sesudah Nabinya di bidang agamanya melainkan ia melenyapkan semisalnya (sepertinya) daripada sunnah.” Riwayat Ath Thabaranie. Hadits ini isnadnya dhaif tetapi boleh digunakan sebagai hujah kerana ianya disokong oleh hadits-hadits lainnya yang semakna dan ianya tidak bertentangan dengan hadits yang shahih.

Kejadian seperti yang dijelaskan oleh hadits ini telah dijelaskan di dalam Al-Quran tentang golongan Yahudi dan Nasrani yang menokok tambah agama mereka dan akhirnya agama mereka ditolak oleh Allah dan mereka menjadi orang-orang yang kafir. Sabda Rasulullah saw.:

مَنْ عَمِلَ عَمَلاً لَيْسَ عَلَيْهِ اَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ
“Barangsiapa yang melakukan suatu perbuatan yang bukan perintah kami, maka ia tertolak.” Riwayat Muslim

Walaupun perlakuan bid’ah di dalam agama ini dijelaskan di dalam Al-Quran dan hadits dengan ancaman yang keras dan dijelaskan tempat pelakunya adalah di neraka, tetapi tetaplah ia menjadi pilihan kebanyakan manusia yang mengaku dirinya Islam. Sabda Rasulullah saw :

اِنَّ اللهَ حَجَبَ التَّوْبَةَ عَلَى كُلِّ صَاحِبِ بِدْعَةٍ حَتَّى يَدَعَ بِدْعَتَهُ
“Sesungguhnya Allah mendinding (menutup) taubat daripada tiap-tiap orang yang ahli bid’ah sehingga ia tinggalkan bid’ahnya.” Riwayat Ath-Thabranie dengan isnad yang hasan

Betapa beratnya ancaman terhadap pelaku bid’ah sehinggakan tidak diterima taubat seorang pelaku bid’ah sehingga pelaku itu meninggalkannya dan kebanyakan pelaku bid’ah yang kita lihat hari ini bukannya mereka meninggalkannya tetapi mereka akan mempertahankannya sehingga nafas yang terakhir. Kita boleh lihat bacaan yasin yang tidak didasari hadits yang sah untuk dibuat dalil untuk diamalkan sentiasa dijadikan amalan yang dianggap mulia dan dapat membantu orang yang sedang sakaratulmaut. Jadi bilakah taubat ahli bid’ah ini akan diterima Allah? Sabda Rasulullah saw. :

اِنَّ اِبْلِيْسَ قَالَ: اَهْلَكْتُهُمْ بِالذُّنُوْبِ فَاَهْلَكُوْنِى بِالاِسْتِغْفَارِ فَلَمَّا رَاَيْتُ ذَلِكَ اَهْلَكْتُهُمْ بِالأَهْوَاءِ فَهُمْ يَحْسَبُوْنَ اَنَّهُمْ مُهْتَدُوْنَ فَلاَ يَسْتَغْفِرُوْنَهُ
“Sesungguhnya Iblis berkata: “Aku merosakkan mereka (ummat Islam) dengan dosa-dosa, lalu mereka merosakkan aku dengan istighfar, maka tatkala aku melihat demikian itu, aku merosakkan mereka itu dengan hawa keinginan –bid’ah, lalu mereka menyangka bahawa mereka itu mendapat petunjuk yang benar, lalu mereka tidak sama memohon ampun.” Riwayat Ibnu Abi ‘Ashim.

Iblis akan menggoda manusia sehingga mereka mereka melakukan dosa di dunia ini tetapi dosa itu dapat dibersihkan dengan bertaubat dan beristighfar. Dan istighfar itu merosakkan hasrat atau cita-cita Iblis untuk merosakkan umat Islam. Tetapi Iblis tidak melepaskan ummat Islam begitu sahaja lalu ia rosakkan manusia itu dengan keinginan hawa nafsu mereka iaitu dengan menghasut manusia mencipta, menokok tambah di dalam urusan agama sehingga ummat Islam menyakini itulah petunjuk yang benar, lalu mereka tidak memohon ampun di atas perbuatan bid’ah itu kerana mereka menganggap itu semua perkara yang baik, bid’ah hasanah dan dalam keadaan yang demikian inilah pelaku bid’ah menghadapi saat kematiannya iaitu dengan membawa sama amalan bid’ah yang ia yakini sebagai petunjuk jalan yang benar. Inilah janji syaitan untuk menyesatkan anak Adam. Firman Allah: Al-Hijr ayat 39

قَالَ رَبِّيْ بِمَا اَغْوَيْتَنِيْ لاُزَيِّنَنَّ لَهُمْ فِي الأَرْضِ وَلاُغْوِيَنَّهُمْ اَجْمَعِيْنَ
“Berkata (iblis): Ya Tuhan! Oleh sebab Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, maka sesungguhnya akan aku hiasi (dengan kejahatan) di dunia dan akan aku sesatkan mereka semuanya.”

Firman Allah: Al-Kahfi ayat 103-105 [18:103-105]

قُلْ هَلْ نُنَبِّئُكُمْ بِالأَخْسَرِيْنَ اَعْمَالاً * الَّذِيْنَ ضَلَّ سَعْيُهُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَهُمْ يَحْسَبُوْنَ اَنَّهُمْ يُحْسِنُوْنَ صُنْعًا * اُولَئِكَ الَّذِيْنَ كَفَرُوْا بِاَيَاتِ رَبِّهِمْ وَلِقَآئِهِ فَحَبِطَتْ اَعْمَالُهُمْ فَلاَ نُقِيْمُ لَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَزْنًا * ذَلِكَ جَزَآؤُهُمْ جَهَنَّمُ بِمَا كَفَرُوْا وَاتَّخَذُوْا ءَايَاتِيْ وَرُسُلِيْ هُزُوًا
Katakanlah: Apakah akan Kami khabarkan kepadamu tentang orang-orang yang paling merugi perbuatannya? * Iaitu orang-orang yang telah sia-sia perbuatannya dalam kehidupan dunia ini sedangkan mereka menyangka bahawa mereka telah berbuat sebaiknya * Mereka itu orang-orang yang kufur terhadap ayat-ayat Tuhan mereka dan (kufur terhadap) perjumpaan dengan Dia maka hapuslah amalan-amalan mereka dan Kami tidak mengadakan suatu penilaian bagi (amalan) mereka pada hari kiamat * Demikianlah balasan mereka itu neraka Jahannam disebabkan kekafiran mereka dan disebabkan mereka menjadikan ayat-ayatKu dan rasul-rasulKu sebagai olok-olok.

Maka saya ulangi lagi soalan; Bagaimanakah ahli bid’ah itu akan bertaubat, sedangkan ia menyakini kesesatan itu adalah petunjuk baginya? Bagaimana kita hendak menjaga diri kita dan keluarga kita? Jawapannya hanya satu, berpegang teguhlah kepada Al-Quran dan Sunnah Rasul serta ambillah apa yang disepakati oleh para sahabat. Inilah yang dinamakan bermanhajkan As-Sunnah wal Jamaah, sabda Rasulullah saw.:

تَرَكْتُ فِيْكُمْ اَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوْا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا كِتَابَ اللهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ
“Aku telah meninggalkan pada kamu sekalian dua perkara yang tidak akan tersesat kamu selama kamu berpegang teguh kepada keduanya iaitu: Kitab Allah dan Sunnah Nabi-Nya.” Riwayat Ibnu Abdil-Bar.

Tetapi sekian banyak ummat Islam sekarang memandang sepi keadaan kesesatan, perselisihan tanpa mahu mengambil tahu apa yang sebenarnya berlaku. Bagi mereka apa yang telah diamalkan oleh keluarga mereka dan apa yang diajarkan oleh ustaz itu sudah cukup. Iaitu agama yang lebih kepada ikutan daripada agama yang diambil berdasarkan Al-Quran dan Sunnah Rasul. Agama yang demikan bolehlah dikatakan agama warisan keturunan, mereka yang berpegang dengan agama warisan keturunan ini lazimnya hanya akan menerima ilmu yang secucuk dengan amalan yang diwarisinya dan mendiamkan malah kadangkala menolak ajaran agama yang dipandang berbeza dengan warisan mereka. Golongan ini lazimnya tidak mengendahkan amalan itu berdalil atau tidak, asalkan ianya secucuk dengan hati mereka itu telah memadai. Sifat menerima amalan agama menurut warisan keturunan ini sebenarnya telah diamalkan oleh orang arab jahiliyah, ini dijelaskan dalam firman Allah : Al-Baqarah ayat 170 [2:170]

وَاِذَا قِيْلَ لَهُمُ اتَّبِعُوْا مَا اَنْزَلَ اللهُ قَالُوْا بَلْ نَتِّبِعُ مَا اَلْفَيْنَا عَلَيْهِ ءَابَآءَنَا أَوَلَوْ كَانَ ءَابَآؤُهُمْ لاَ يَعْقِلُوْنَ شَيْئًا وَلاَ يَهْتَدُوْنَ
“Dan apabila dikatakan kepada mereka: Turutlah olehmu apa-apa yang diturunkan Allah. Mereka berkata: Hanya kami akan menurut apa-apa yang dilakukan oleh orang-orang tua kami. Apakah (mereka mau menurut saja) walaupun orang-orang tua mereka tidak mengerti apa-apa dan tidak mendapat petunjuk ?”

Saudara/saudari sifat menurut warisan atau menurut ulama tanpa mahu mengetahui dalilnya sahih atau tidak adalah perbuatan taqlid yang dilarang. Taqlid menurut ta’rif ulama: ‘Taqlid itu ialah mengikut orang yang terhormat atau dipercaya dalam sesuatu hukum dengan tidak memeriksa lagi benar atau salahnya, baik atau buruknya, manfaat atau mudharatnya hukum itu.’ Larangan syarak di dalam perbuatan taqlid ini adalah jelas baik di dalam Al-Quran mahupun di dalam hadits Rasulullah saw, antara firman Allah dari hal taqlid ini ialah :

وَلاَ تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ اِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ اُولَئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْؤُولاً
“Dan janganlah kamu mengikuti (membuat pendirian) apa yang kamu tidak ada ilmu (mengetahui) tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya akan dipertanggungjawabkan.”

Larangan Allah itu adalah jelas dan nyata bahawa Islam melarang kita menurut sesuatu yang kita tidak tahu sahih atau tidaknya sesuatu hukum menurut As-Sunnah. Tetapi golongan ahli bid’ah dan ahli kalam memutar-belitkan ayat Al-Quran untuk menghalalkan taqlid, mereka menggunakan ayat Al-Qur’an surah An-Nahl ayat 43 [16:43], kononnya itulah dalil taqlid, ayat tersebut berbunyi :

فَسْئَلُوْا اَهْلَ الذِّكْرِ اِنْ كُنْتُمْ لاَ تَعْلَمُوْنَ
“Maka bertanyalah kamu kepada ahli zikir (orang yang mempunyai pengetahuan), jikalau kamu tidak mengetahui.”

Ayat ini mereka tafsir menurut hawa nafsu mereka bahawa ayat ini membolehkan mereka bertaqlid kepada orang alim, tok guru dan para ulama. Ulama ahli tafsir telah menjelaskan tentang maksud ‘ahli zikir’ itu adalah: ‘Ialah ahli Quran, iaitu orang-orang yang tahu/mengerti tentang tentang hukum-hukum yang terkandung di dalam Al-Quran.’ Saudara/saudari, seorang yang mengetahui tentang hukum Al-Quran dan patuh kepada perintah Allah tidak akan menyeru atau mengajak kepada larangan Allah seperti perbuatan taqlid kerana telah jelas larangannya di dalam Al-Quran dan sunnah Rasulullah saw. Firman Allah :

اتَّخَذُوْا اَحْبَارَهُمْ وَرُهْبَانَهُمْ اَرْبَابًا مِنْ دُوْنِ اللهِ
“Mereka itu menjadikan ketua-ketua agama dan pendita-pendita mereka sebagai tuhan tuhan mereka selain Allah.” At-Taubah ayat 31 [9:31]

Telah dijelaskan di dalam hadits tentang tafsir ayat di atas iaitu dari ‘Adi bin Hatim: ‘Aku datang kepada Rasulullah saw. Pada leherku ada salib, maka beliau bersabda kepadaku: “Hai ‘Adi lemparkan arca (salib) ini dari lehermu dan jangan kamu pakai lagi.” Dan membaca ayat 31 surat At-Taubah. Kata ‘Adi: Aku berkata: ‘Ya Rasulullah, kami tidak menjadikan tuhan tuhan kepada pendita pendita itu.’ Nabi saw. bersabda :

أَلَيْسَ يُحِلُّوْنَ لَكُمْ مَا حَرَّمَ اللهُ عَلَيْكُمْ فَتُحِلُّوْنَهُ وَيُحَرِّمُوْنَ عَلَيْكُمْ مَا اَحَلَّ اللهُ لَكُمْ فَتُحَرِّمُوْنَهُ
“Bukankah mereka menghalalkan bagi kamu barang yang diharamkan Allah atas kamu, lalu kamu menghalalkannya, dan mereka mengharamkan atas kamu barang apa yang dihalalkan Allah kepada kamu, lalu kamu mengharamkannya.” Kata ‘Adi: ‘Bahkan ya Rasulullah!’ Nabi bersabda : فَتِلْكَ عِبَادَتُهُمْ “Demikian itulah ibadat kepada mereka.”

Demikianlah larangan yang telah dijelaskan oleh Rasulullah saw. di atas urusan bertaqlid dan jelaslah putar-belit ahli bid’ah di dalam menghalalkan taqlid itu adalah sangkaan yang sesat semata-mata. Oleh yang demikian bagi kita yang mencintai As-Sunnah di akhir zaman yang penuh dengan penipuan, kekeliruan, kesesatan baik di dalam urusan agama dan kehidupan, bersedia dengan ilmu pengetahuan yang luas di atas urusan agama. Mudah-mudahan jerat-jerat Iblis dengan memutar-belitkan ibadah dengan bid’ah dapat kita hindari. Belajarlah agar dapat kita membezakan sunnah dengan bid’ah, Al-Jamaah dan mazhab, tauhid dan syirik, Iman dan kufur. Peliharalah diri kita dan keluarga kita dari kejahilan di dalam agama, sesungguhnya kehidupan ini sementara dan amat singkat sekali dan akhirat itu pasti menjelang tiba.

Berkata sahabat, Salman r.a. :

اِنَّ الْعَالِمَ فَاِنِ اهْتَدَى فَلاَ تُقَلِّدُوْهُ دِيْنَكُمْ
“Sesungguhnya orang alim itu, jika mendapat petunjuk, maka janganlah kamu bertaqlid kepadanya tentang agama kamu.”

Dan kata Ibnu Mas’ud :
اُغْدُ عَالِمًا اَوْ مُتَعَلِّمًا وَلاَ تَكُوْنَنَّ اِمَّعَةً
“Jadilah kamu orang yang mengerti atau orang yang belajar, dan janganlah sekali kali kamu menjadi pengikut fikiran orang lain.”

~dipetik dari IslahPerlis, lebih lanjut sila klik di bawah:
http://www.islahperlis.org/

wallahualam...

2 comments:

Anonymous said...

Salam..Tulisan kurang jelas.

ICJ 1.0 said...

to Anonymous:
وعليكم السلام..sudah diperbaiki tulisan, harap lebih jelas dan dapat dimanfaatkan!

Post a Comment